we are not an environmentalist. we are an Earth warrior

Monday 6 June 2011

Speech from Our dearest Principal

On Hari Anugerah Cemerlang, our principal had given a speech to the parents who came to the event. The bold words are about our BPMyscience Challenge result last year 

we use flora and fauna as the main theme.

UCAPAN
YANG BERBAHAGIA DATIN SERI ZAVIRAH BT SHAARI
DI MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN  TAMAN MELATI
KALI-17/ 2011


Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh

Salam sejahtera

Bismillahi Rahmanir Rahim

Yang Berusaha Encik  Zainal Rashid bin Zakaria, Pengurus Bahagian Pengurusan Program,Yayasan Pelajaran MARA,Yang Berusaha Encik Noor Azree bin Ghazali, Yang Dipertua PIBG serta para tetamu dan ibu bapa yang telah meluangkan masa hadir bersama untuk meraikan kejayaan anak-anak didik pada hari ini.


Tuan – tuan dan Puan – puan  yang dihormati,

2.         Encik Zainal Rashid bin Zakaria, bukanlah asing bagi pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 yang berada di sini pada hari ini. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab mengadakan program motivasi kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki Peperiksaan PMR, SPM dan STPM anjuran Yayasan Pelajaran MARA di sekolah ini bermula dari tahun 2009. Dengan berkat kerjasama Yayasan Pelajaran MARA hasil sentuhan Encik Zainal Rashid bin Zakaria dan Pegawai-pegawai Yayasan Pelajaran MARA, kesungguhan guru-guru yang tanpa jemu mencurahkan ilmu dan komitmen yang tinggi dari ibu bapa semua, maka berlakulah lonjakan saujana dalam setiap kali keputusan PMR dan SPM diumumkan.
           
3          Untuk makluman Encik Zainal Rashid, seramai 45 orang lulusan SPM tahun 2010 dari sekolah ini telah terpilih melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam. Oleh itu, besarlah harapan kami semua agar Yayasan Pelajaran MARA akan terus tidak melupakan kita dalam apa jua program motivasi yang mereka laksanakan. Itulah komitmen yang telah diberikan oleh En.Zainal kepada saya.

4.         Majlis Anugerah Cemerlang merupakan majlis penghargaan sekolah kepada guru-guru dan para pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah dalam peperiksaan di peringkat sekolah dan peperiksaan di peringkat kebangsaan.  Dalam semangat berat sama dipikul - gunung sama didaki,  79 orang warga guru di sekolah ini telah mengupayakan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melati mencapai prestasi Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mengatasi keputusan purata peringkat kebangsaan.

5.         Setiap tahun  pihak sekolah merangka pelbagai usaha untuk meningkatkan prestasi akademik melalui ‘Program Mencapai Bintang’ dan ‘Program Sentuhan Minda’. Program-program tersebut dibiayai sepenuhnya oleh ibu bapa pelajar yang terlibat dalam program anak-anak cemerlang.  Sokongan dari ibu bapa yang sebegini amat dialu-alukan dan amat perlu diteruskan. 
6.         Tuan – tuan dan puan - puan, Gred Purata Sekolah dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah  ialah 2.65 telah berjaya dikecilkan dari tahun 2009 iaitu 2.67. Di peringkat  Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pula gred purata sekolah telah dapat dikurangkan dari 5.09 tahun 2009 menjadi 4.93. Pada tahun 2010, berkat usaha tekun warga guru dan respons positif para pelajar berserta sokongan ibu bapa, subjek-subjek Biologi, Pendidikan Seni, Pendidikan Moral, dan Pendawaian Domestik berjaya mengekalkan kelulusan seratus peratus.

7.         Izinkan saya mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar dan melahirkan ucapan terima kasih kepada guru-guru yang telah memperlihatkan komitmen dan dedikasi serta untuk saya melahirkan penghargaan sekolah kepada sokongan pengukuhan dari ibu bapa.  Semoga segala jasa bakti dan kesungguhan kami semua itu diterima Allah sebagai amal yang diberikan keberkatan dunia dan akhirat.
           
Tuan-tuan dan Puan-puan,

8.         Disiplin adalah faktor asas penentuan mencapai kecemerlangan.  Disiplin dilihat sebagai satu ukuran penting terhadap kecemerlangan sesebuah sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin tercapai tahap kecemerlangan akademik, tanpa disiplin sukarlah dicapai kecemerlangan kurikulum dan kokurikulum.  Atas kesedaran tersebut, pihak Hal Ehwal Murid sekolah dengan kerjasama Unit Bimbingan Kaunseling telah menjalankan pelbagai program khas untuk membangun dan membentuk sahsiah dan jati diri pelajar.

9.         Dalam bidang kokurikulum dan sukan, sekolah ini telah menempa kejayaan dalam pelbagai aktiviti peringkat zon, negeri dan kebangsaan. Pasukan olahraga sekolah ini menjadi pasukan yang digeruni dan telah menjadi juara keseluruhan Zon Keramat dalam Kejohanan Balapan dan Padang (Olahraga) dan Larian Merentas Desa tahun 2011 malah 3 orang atlet sekolah ini iaitu Revin a/l Ramuh, Mohd Haziq bin Mohd. Hasnizam dan Sherman Pravin telah terpilih mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Pertandingan Merentas Desa dan Olahraga Peringkat Kebangsaan dalam Pertandingan Majlis Sukan Sekolah Malaysia. Revin a/l Ramuh yang merupakan  olahragawan sekolah juga pernah menyertai Kejohanan SUKMA yang diadakan di Melaka pada tahun 2010.
            Persatuan Sains dan Matematik telah menjadi naib johan dalam pertandingan BP My Sceince Challenge peringkat kebangsaan pada tahun 2010 dan sekali lagi telah terpilih ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kertih, Terengganu pada bulan September nanti.

10.       Visi sekolah ini adalah “Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melati Sentiasa Cemerlang”.  Seluruh  tenaga pengajar akan berusaha sedaya upaya membimbing murid-murid yang akan meninggalkan sekolah ini nanti menjadi antara modal insan terbaik dan menjadi aset berguna kepada negara.  Untuk itu warga pendidik di sekolah ini tekun berusaha melengkapkan diri murid-murid dengan ilmu akademik yang sempurna, menyuburkan rohani mereka dengan iman yang kuat dan mensasakan diri mereka melalui aktiviti kokurikulum yang mereka minati.       Perkembangan pelajar digilap tidak hanya dalam bidang akademik, malah merangkumi bidang sukan, seni dan budaya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

11.       Kepada ibu bapa diucapkan tahniah, sesungguhnya anak-anak yang cemerlang lahir daripada ibu bapa yang senantiasa memberikan perhatian dan mengambil berat atas kemajuan anak-anak.

Pohon pinang tumbuh berbanjar
Ditanam rapat pohon cempaka
Gembira dan bangga jelas terpancar
Anak ditimang mengenang jasa 

Berarak mendung dipancar mentari
Awan salju menghias angkasa
Dikaulah anak laksana jauhari
Ayah dan ibu terubat duka

12.       Pengurusan sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan ibu bapa sekolah ini kerana dalam keterbatasan kewangan, telah membiayai majlis seumpama ini setiap tahun. Kepada anak-anak pelajar yang mendapat penghargaan dari sekolah dan PIBG, saya ingin mengingatkan semua dengan ungkapan pantun berikut ;

Membeli gelama di Pekan Maran
Bawakan kami ikan salai
Hidang penganan dalam balang
Hadiah diterima bukan ukuran
Ingatan kami tidak ternilai
Buat kenangan penerima cemerlang

Burung tekukur di Pohon Jelai
Batang jerami jadi mainan
Jangan diukur jangan dinilai
Hadiah kami jadikan kenangan

Gading retak penuh seraga
Dibuat tangkal si Anak Bentan
Bukan terletak padanya harga
Nilainya kekal dalam ingatan

            Dalam segala kekurangan dan kedaifan, dengan kail panjang sejangkal, dengan garam kadar segenggam, dengan suasa berat setahil. Kami telah berusaha yang terbaik yang dapat difikirkan untuk meraikan kejayaan anak-anak tuan/puan.
Sekian.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 


Never does nature say one thing and wisdom another.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...